Home »
Agama islam
» Ramadhan Bulan Jihad, Bukan Bulan Berehat
Ramadhan Bulan Jihad, Bukan Bulan Berehat

Majlis Tindakan DUN Jabi sebagaimana biasa turut tidak terkecuali untuk bersama menyemarakkan bulan yang mulia ini dengan pelbagai pengisian dan program.
Malah sebenarnya ianya telah bermula sebelum Ramadhan lagi dengan acara Sambutan Ambang Ramadhan pada 18 Julai 2012 lalu di Masjid Matla’in Badrin dengan pengisian kuliah maghrib, qiyamullail serta kuliah subuh dengan matlamat untuk sama-sama meningkatkan penghayatan terhadap kedatangan bulan rahmat, bulan keampunan dan bulan pembebasan dari api neraka ini.
Sepanjang bulan Ramadhan ini, bagaikan suatu program wajib, pimpinan Dun akan menjelajah ke hampir keseluruhan cawangan-cawangan berjumlah 25 cawangan di dalam Dun untuk bersolat isyak dan bertarawih bersama masyarakat. Kesempatan itu juga digunakan untuk menyampaikan tazkirah ringkas.

Iftar Jama’ie di cawangan-cawangan adalah suatu kemestian dengan jadual giliran yang sangat padat. Sementara di peringkat Dun pula, ianya dijadualkan pada 10 Ogos 2012 bersamaan 21 Ramadhan 1433H. Sehari selepas itu pada 11 Ogos 2012 bersamaan 22 Ramadhan 1433, anak-anak yatim, fakir miskin, ibu-ibu tunggal serta saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik akan disantuni dalam Majlis Sumbangan Hari Raya Dun Jabi.
Tidak dilupakan, anak-anak yatim piatu 9 beradik di Kampung Jebak Puyoh. Mereka adalah amanah Allah untuk kita yang masih hidup. Tidak memadai dengan menjemput mereka untuk hadir menerima sumbangan, teratak mereka kami kunjungi dengan membawa hidangan seadanya, berbuka puasa bersama mereka walaupun tentunya kami tidak akan mampu mengantikan ibu bapa mereka yang telah pergi.
Ramadhan adalah bulan Jihad, bukan bulan untuk berehat. Apatah lagi dengan ura-ura selepas Hari Raya nanti akan datang satu lagi ‘Raya’, maka gerak kerja pemantapan jentera pilihanraya, pengukuhan sumber kewangan, pemantapan ilmu serta gerak kerja mendekati pengundi berjalan seperti biasa. Waktu selepas solat tarawih adalah jadual untuk Majlis Tindakan Dun mengadakan mesyuarat merancang strategi.