Home »
Artikel Politik
» PRU dekat, Najib pilih sahabat dekat
PRU dekat, Najib pilih sahabat dekat
SEORANG sahabat berkata, “Hasan Ali mungkin membazir kerana belanja besar ubah suai pejabat. Tapi, tidakkah kita juga bazir sebab ambil banyak masa sehingga baru dedahkan semua ini? Atau, inilah budaya politik kanan atau kiri? Apabila tidak sehaluan lagi, maka habislah diceritakan?”
Seorang kenalan lain berkata, “Ini bukan saja budaya politik malah budaya kehidupan kita semua termasuk mereka yang berkecuali. Kawan baik hari ini, mungkin dedahkan pekung kita esok apabila kita bukan lagi rakannya.”
“Ya, sikap yang ketara nampaknya banyak berlaku di dalam dunia politik,” kata sahabat tadi berkeras. Selain itu, beliau menyentuh pendedahan Azmin ke atas pembaziran persidangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor sebanyak RM550,000 yang dikatakan lebih afdal disalur kepada rakyat.
“Bermula sekarang, tidak payah buat persidangan, duit semua itu salur saja kepada rakyat. Persidangan dewan undangan negeri pula macam mana ya?” tanya beliau, sinis. Begitulah halnya apabila semuanya didedahkan.
“Takutlah kepada kawan 1,000 kali. Takutlah musuh sekali sahaja,” pesan orang budiman. Hal ini kerana, kawan yang bertukar musuh akan menyebarkan kelemahan kita kepada orang lain. Musuh tidak mungkin tahu kelemahan kita.
Di sana, ada contoh pergolakan antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.
Malahan, Daim Zainuddin serta Tengku Razaleigh pernah bermusuhan dengan Dr Mahathir. Setelah mereka bermusuh, banyak rahsia pecah. Kita boleh marahkan Anwar kerana bazir masa 20 tahun memendam rasa. Daim Zainuddin dan Tengku Razaleigh juga turut membazir sebab menunggu banyak waktu untuk dedahkan penyelewengan Dr Mahathir.
Itulah cerita hubungan antara Anwar, Dr Mahathir, Daim serta Tengku Razaleigh yang kemudiannya, selepas bertukar jadi musuh, rahsia terburai selepas 20 tahun. Tapi, ketika Azmin dedahkan pembaziran Hasan Ali yang diberi peluang sepenggal dalam pentadbiran (5 tahun) belakangan ini, ada pula yang berteriak marah mengenai pembaziran masa itu.
Hari ini Presiden Umno Najib Razak pula dikelilingi sahabat yang bercita-cita tinggi dalam politik demi kekayaan peribadi.
Hal ini dijelaskan Najib di dalam temubual radio 988 FM dalam segmen 988 Street VIP pada 22 Mac lalu.
“Saya akan kata kepada wakil rakyat ini tempoh perkhidmatannya telah tamat. Jika ini berlaku sudah tentu wakil rakyat terlibat akan menyalahkan saya sedangkan keputusan ini berasaskan kepada suara rakyat,” kata Najib.
Utusan melaporkan ‘jiwa mulia’ Najib, bahawa beliau sanggup kehilangan kawan yang pentingkan cita-cita politik peribadi. Kata Najib, suara rakyat lebih utama. Tambah Najib, sebagai pemimpin, beliau perlu penuhi harapan rakyat daripada kepentingan sahabat.
Dan, antara bukti beliau menolak sahabat itu adalah dalam hal pemilihan calon bagi pilihan raya umum ke-13 kelak. Justeru, Najib berkata, jika penduduk di kawasan tertentu tidak mahu lagi wakil rakyat yang lama sebab tidak bertugas dengan baik, maka beliau akan gugurkan pemimpin itu lalu diganti pula dengan calon lain yang digemari rakyat.