Powered by Blogger.

TERGEMPAR!! siswa serah nisan kepada Khalid Nordin?

AGAK tersinggung nampaknya Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dengan tindakan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menghantar batu nesan ke kementeriannya minggu lalu.
Seraya menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak matang dan hanya bertujuan mencari publisiti murahan, beliau menegaskan pihaknya tidak akan terkesan dengan tindakan tersebut.


“Pemberian batu nesan kepada KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) itu sebenarnya tidak memberi sebarang kesan kepada pihak kementerian... Mungkin memang betul mereka tidak matang, namun saya tidak boleh meletakkan diri saya dalam keadaan tidak matang seperti mereka juga,” ujarnya.
Kenyataan itu adalah sebagai reaksi beliau terhadap tindakan sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan bangunan KPT di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum menuntut diadakan segera pilihan raya kampus. Difahamkan tempoh penggal majlis perwakilan mahasiswa (MPP) di beberapa IPT telah pun berakhir sejak Februari lalu.
Penyerahan memorandum itu bagaimanapun turut disertakan dengan seketul batu nesan, yang dianggap sebagai tanda berkuburnya demokrasi mahasiswa.
Seperti mana lazimnya pada setiap kali berlaku bantahan atau demonstrasi yang kerap diikuti dengan penyerahan memorandum atau tuntutan oleh para pelajar, menteri cenderung memberikan reaksi awal agak serong. Kerap digambarkan kononnya tindakan mahasiswa dalam bentuk sedemikian sebagai tidak kena dan menyalahi aturan.
Mereka disifatkan sebagai gopoh, tidak matang, bahkan kekadang dikaitkan sebagai menjadi alat pihak-pihak lain, khususnya parti pembangkang.
Serentak itu digambarkan juga betapa telus dan terbukanya pihak kementerian dalam mendengar sebarang bantahan atau luahan pelajar. Seolah-olah pihaknya telah menyediakan saluran bersesuaian yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pelajar bagi meluahkan tidak puas hati mereka. Lalu kumpulan pelajar berkenaan ditempelak kerana tidak memilih mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan pihaknya.
Soalnya, apakah ini kes pertama membabitkan bantahan dan penyerahan memorandum oleh mahasiswa tempatan kepada kementerian itu? Apakah selama ini tidak pernah ada kumpulan pelajar menyuarakan sesuatu berhubung proses pilihan raya kampuskampus?
Dan paling penting, apakah kementerian sangat berpuas hati dengan langkah penyelesaian dikemukakan pihaknya dan meyakini bahawa para pelajar juga berpuas hati dengan langkah itu?
Itulah beberapa persoalan yang sepatutnya diperhalusi oleh pihak kerajaan, khususnya KPT dalam menangani kes ini. Kerana, seperti mana sedia dimaklumi, selagi mana perjalanan pilihan raya kampus dilihat tidak telus dan mencurigakan, selagi itulah kes-kes seumpama yang berlaku minggu lalu itu akan terus berulang.
Bukan kita tidak tahu bagaimana perjalanan proses pilihan raya kampus selama ini seolah-olah dipandang remeh dan mudah. Banyak cerita kita dengar bagaimana proses perjalanannya terdedah kepada ketidaktelusan dan tindak-laku yang amat dipertikaikan, terutama membabitkan campur tangan dan tekanan pihak pentadbiran.
Bahkan, peranan MPM yang dipilih oleh mahasiswa pula seakan hanya menjadi pak turut kepada kehendak pihak pentadbiran.
Itulah antara perkembangan yang disifatkan sebagai faktor kelesuan mahasiswa dalam soal kepimpinan. Mereka diletakkan dalam zon selesa agar tidak perlu memperjuangkan apa yang diperlukan, kerana segalanya mudah diperolehi, asal saja mereka berdampingan dengan pihak ‘berkuasa’.
Jumlah mereka yang mendapat keputusan akademik cemerlang mungkin semakin meningkat. Namun, di dalam konteks kepimpinan, mahasiswa dilihat sangat lemah dan tidak berketrampilan.
Hal ini jelas dapat dilihat menerusi tahap penglibatan mahasiswa yang sangat mendukacitakan di dalam persatuan dan aktiviti kebajikan.
Mereka lebih selesa dengan sindrom 3K iaitu kuliah, kafe dan kolej. Apa yang dipentingkan hanyalah pencapaian akademik dan aktiviti sosial. Persekitaran kampus seolah membentuk mereka menjadi individualistik dan hanya mementingkan diri sendiri.
Sikap tidak mengambil berat soal kepimpinan dan perkembangan masyarakat adalah suatu yang merugikan. Mahasiswa tidak seharusnya dikecilkan peranan mereka, sebaliknya mereka perlu dibiasakan dengan memikul tanggungjawab penting.
Sebab itu sebelum ini sudah ada desakan dan tuntutan agar kelemahan proses pilihan raya kampus dan peranan MPM diperbetulkan. Bagi khalayak yang benar-benar menghayati signifikan pilihan raya kampus, ia dianggap proses mematangkan mahasiswa dengan kefahaman awal mengenai politik. Pilihan raya kampus adalah medan latihan kepimpinan untuk mereka.
Justeru, biarpun mereka hanya bertanding dan berkempen di kalangan sesama mereka, peranan proses pemilihan itu dilihat sangat penting terutama dalam membentuk generasi pelapis kepimpinan negara suatu hari kelak.
Tempoh pengajian di universiti ialah ruang untuk mahasiswa mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia sebenar. Maka, tindakan mahasiswa menuntut diwujudkan persekitaran kondusif ke arah itu, walaupun membabitkan penyerahan batu nesan kepada KPT, sepatutnya dinilai sebagai bertitiktolak daripada pemikiran yang matang dan prihatin.

Posted by admin:007dunia On 0 comments
Jika artikel ini bermanfaat,bagikan kepada rekan melalui:

10 Berita Terbaru

Popular post

My Ping in TotalPing.com Submit Your Site To The Web's Top 50 Search Engines for Free!

Berita Semasa Online

Portal Sumber Ilmu Online

Feed Link Sahabat

Geng Blogger Hebat

Followers