100 ahli daripada enam badan bukan kerajaan (NGO) negeri ini berkumpul
KUANTAN - Seramai 100 ahli daripada enam badan bukan kerajaan (NGO) negeri ini berkumpul dan melakukan perhimpunan aman di Taman Kerang di Jalan Mahkota, di sini, semalam sebagai simbolik bantahan terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perhimpunan itu mendesak pihak polis supaya segera menyiasat dan bertindak tegas ke atas Anwar Ibrahim yang didakwa menerima bantuan dana daripada Yahudi.

Enam NGO terbabit adalah Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) cawangan Kuantan, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang, Majlis Belia Kuantan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Pahang dan Pertubuhan Kerabat Pusaka Merong Mahawangsa Malaysia (PKPMM) Wilayah Timur.

Perhimpunan bermula jam 11 pagi itu turut menyaksikan kain rentang dan kertas kadbod yang memaparkan ‘Selamatkan Malaysia’, ‘ Tolak Anwar ejen Yahudi’, ‘Siapa Anwar ejen Yahudi?’, ‘Kami tolak Anwar’ dan ‘No to Anwar’.

Setiausaha PBTM Kuantan, Rafaie Abdul Kadir berkata, pihak polis perlu menjalankan siasatan dan bertindak tegas terhadap Anwar jika dakwaan yang PKR menggunakan dana daripada Yahudi itu benar.

Menurutnya, perkara itu tidak perlu dibiarkan secara berterusan kerana akan menyebabkan rakyat terpedaya.

“Dalam perhimpunan ini juga kami mahu menyedarkan rakyat bahawa Anwar sanggup mempengaruhi negara asing khususnya Israel demi kepentingan politik beliau.

“Rakyat perlu menolak kepimpinan Anwar yang seolah-olah menggadaikan maruah bangsa dan agama demi kepentingan politik beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pekida Kuantan, Ngah Ismail berkata, Ketua Pembangkang tidak harus bertindak sesuka hati sehingga menggadai keselamatan negara yang aman ini.

“Polis harus menyiasat perkara ini. Jangan biarkan terus urusan negara kita dicampuri oleh bangsa asing terutamanya Yahudi,” katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan Perkasa Negeri, Faiz Hashim meminta Anwar supaya menggunakan saluran betul jika mahu menjadi Perdana Menteri dan mengutuk tindakan penasihat PKR itu yang menjadi satu-satunya rakyat di Malaysia ini yang dilihat menyokong zionis tersebut.

Selepas mengadakan perhimpunan tersebut wakil NGO terbabit turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kira-kira pukul 12 tengah hari.