Home »
berita utama
 » 
politik kita
 » Najib Yakin BN Rampas Negeri-Negeri Di Bawah Pembangkang Pada PRU Ke-13
Najib Yakin BN Rampas Negeri-Negeri Di Bawah Pembangkang Pada PRU Ke-13
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau yakin dengan  keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk merampas negeri-negeri yang ketika  ini dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan  diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi. 
Perdana Menteri berkata ini berdasarkan kepada sokongan rakyat  terhadap kerajaan yang semakin bertambah baik dan penerimaan dasar  kerajaan ketika ini yang memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan  negara.
Najib, yang juga Pengerusi UMNO Selangor, turut menyuarakan keyakinan  bahawa negeri Selangor sendiri akan kembali ke pangkuan BN, selepas  pembangkang gagal menunaikan banyak janji di negeri itu.
Katanya beliau bekerja keras untuk memastikan kemenangan BN kerana  menurutnya hanya kerajaan BN sahaja yang mampu membawa pembangunan dan  pembaharuan berterusan mengikut kehendak dan aspirasi rakyat.
“Asalkan BN menang, negara berjaya, rakyat Malaysia makmur dan negara  maju jadi kenyataan, transformasi dapat dilaksanakan, baru dapat buat  transformasi besar,” katanya di hadapan lebih 20,000 orang yang hadir  pada perhimpunan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Sekolah Menengah  Putra Perdana Puchong, dekat sini, hari ini.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor,  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Ahli  Parlimen Sepang merangkap kodinotor BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin  Mohamed, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas  dan Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai.
Najib berkata beliau serta barisan kepimpinan BN berkerja keras siang  dan malam untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat sekali  gus memastikan kemenangan BN.
“BN cukup yakin. Pembangkang memang celaru, tengok banyak janji tak  tunai, rakyat kena tipu, jangan kena tipu lagi, sekali cukup. Ini  semangat yang saya lihat insya-Allah gelombang ini akan bawa kemenangan  kepada BN nanti,” katanya.
Beliau seterusnya mengumumkan pemberian bantuan RM100,000 untuk Surau  Al-Sakinah di Taman Perdana Putra, dan RM200,000 untuk SMK Perdana  Putra.
 
 
 
 
 
