Home »
Artikel Politik
» Lagi BUKTI kegagalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat
Lagi BUKTI kegagalan kerajaan negeri Pakatan Rakyat
TEMERLOH: PAS Pahang berpendapat Tasik Chini boleh lenyap lebih awal daripada yang dijangkakan jika Kerajaan Negeri Pahang terus mengeluarkan lesen pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya.
Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini sekali gus membuktikan kerajaan negeri dipimpin BN gagal menjaga khazanah alam yang sangat berharga itu.
Mengulas pendedahan sebuah akhbar baru-baru ini bahawa tasik lagenda di Parlimen Pekan itu bakal lenyap 2030, Tuan Ibrahim juga menyalahkan kegagalan Kementerian Pelancongan menjaga produk pelancongan itu berbanding komitmen yang dibuat kepada Cameron Highland dan Bukit Frazier.
“PAS percaya berdasarkan realiti, kemusnahan akan berlaku lebih cepat daripada itu (2030) jika terus dibiarkan kawasan tadahan air di sekitar Tasik Chini terus diceroboh dengan penebangan balak yang melanggar Akta Alam Sekitar.
“Sepatutnya kontraktor tidak boleh diberi lesen untuk menebang balak atau melombong bijih besi sehingga melibatkan kerosakan bumi dan persekitaran sedangkan tasik tersebut telah diwartakan sebagai Taman Pelancongan,” katanya.Baru-baru ini akhbar melaporkan, Tasik Chini yang diiktiraf sebagai kawasan Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal musnah pada 2030 akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya.
Manakala 1,000 penduduk Orang Asli di sekitarnya juga bakal pupus kerana kehilangan sumber makanan, ubat tradisional dan kesan penggunaan air tercemar.
Perkara tersebut didedahkan oleh Felo Intelektual Awam Asia (API), Dr Hezri Adnan yang berkata tasik tersebut sedang ‘nazak’ hanya menunggu masa menjadi kering akibat pemendapan dasar tasik.
Tuan Ibrahim yang juga Ketua Perangan PAS Pusat berkata, kerajaan pusat juga tidak boleh berlepas tangan dan mesti bertanggungjawab membantu pemulihan Tasik Chini sebelum lenyap.
“PAS percaya untuk membaikpulih kosnya terlalu besar jadi kita minta kerajaan pusat melalui Kementerian Pelancongan mesti juga membangunkan Tasik Chini kembali sebelum lenyap kerana tasik tersebut sangat popular sehingga pernah menjadi kunjungan seluruh dunia.
“Tetapi oleh kerana tidak kreativiti seperti industri hiliran dan produk pelancongan, ditambah lagi kemusnahan alam sekitarnya akhirnya menyebabkan Tasik Chini gagal menarik pelancong malah bakal lenyap pula,” ujarnya.Tuan Ibrahim berkata, Adun PAS pernah membuat usul di Dewan Undangan Negeri pada tahun 1999 dulu supaya kerajaan negeri membangunkan produk pelancongan Tasik Chini dan pemuliharaannya.
“Jika tidak, bukan sahaja Tasik Chini malah Tasik Bera dan Tasik Paya Bungor juga akan mengalami nasib yang sama kerana ternyata kerajaan negeri kurang prihatin. Sedangkan khazanah alam ini merupakan kurniaan Allah yang tidak ada di tempat lain,” jelasnya.Mengenai Orang Asli di Tasik Chini, Tuan Ibrahim berkata komuniti tersebut bakal berhadapan dengan kemiskinan yang sangat serius kerana tasik tersebut merupakan tempat pergantungan mereka sebagai sumber makanan dan minum.
Sedangkan ikan-ikan mulai pupus disebabkan airnya berbau akibat tidak mengalir dan kawasan tasik semakin sempit kerana tidak ada langsung penyelenggaraan dan usaha pemuliharaan.
Serentak dengan itu, PAS Pahang mendesak diambil tindakan segera sebelum tasik yang penuh lagenda itu lenyap sebagaimana yang diperkatakan oleh pengkaji dari universiti itu.- Harakahdaily