Dr Dzulkefly, Dr Abd Rani dan Khalid
Duduk dari kiri: Dr Dzulkefly, Dr Abd Rani dan Khalid pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri, semalam.
 
SHAH ALAM – Tindakan mengenakan peraturan pengasingan tempat duduk dalam panggung wayang di bawah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagi pasangan Islam belum berkahwin adalah tidak benar sebaliknya ia notis biasa.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, MDKS hanya mengarahkan pemilik premis berkenaan meletakkan notis berkenaan untuk perhatian orang Islam sahaja.

Menurutnya, notis yang dikeluarkan MDKS adalah notis biasa atas nama mendidik dan membudayakan perkara baik di mana ia ditujukan untuk orang Islam.

“Sama seperti notis di kedai serbaneka (7 Eleven) ‘Dilarang orang Islam membeli arak’, di kedai 4D pula ‘Orang Islam dilarang membeli nombor ekor’.

“Saya menegaskan supaya perkara ini jangan dipolitikkan supaya kita dapat jadikan tempat hiburan kita sebagai tempat damai sentosa,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman dan timbalannya, Khalid Abdul Samad.

Dzulkefly berkata, Yang Dipertua (YDP) MDKS (Noraini Roslan) yang ditemuinya memaklumkan,  bahawa ahli majlis sudah beberapa kali membentangkan perkara tersebut, kemudian memutuskan untuk dikeluarkan notis mengenainya di panggung wayang di situ.

Bagaimanapun katanya, YDP dan ahli majlis akan membincangkan semula perkara ini dalam mesyuarat penuh bulanan untuk gambaran lebih jelas tentang bagaimana kaedah notis tersebut dikemukakan dan apa peraturan yang akan digunakan kelak.

Katanya, beliau menyokong usaha MDKS namun mereka mengikut proses dan prosedur yang betul sebelum membuat sebarang keputusan demi kebaikan semua pihak.

“Itu bukan satu yang salah tetapi kita mesti letakkan prosedur (sebagai perkara utama), kemungkinan mesyuarat tersebut tidak lama lagi,” katanya.

Kelmarin, Kerajaan Negeri mengarahkan MDKS menangguhkan penguatkuasaan peraturan pengasingan tempat duduk dalam panggung wayang bagi pasangan Islam yang belum berkahwin sehingga satu perbincangan mengenainya diadakan.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu berkata, ia perlu memandangkan Kerajaan Negeri tidak memaklumkan berhubung peraturan itu dan hanya mengetahuinya melalui laporan akhbar.


Elak masalah timbul

Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang, Muhamad Judi Sarjo pula berpendapat, penangguhan larangan terbabit dibuat untuk perbincangan lebih lanjut pada mesyuarat penuh MDKS melibatkan semua pihak bagi menggelakkan kesulitan timbul di kemudian hari.

“Sebagai orang Islam, kita bertanggungjawab mencegah gejala sosial dalam kalangan remaja kerana jika tidak dibendung dengan kerjasama semua pihak, masa depan mereka akan hancur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri menjelaskan, perlu ada persefahaman dan makluman awal dalam melaksanakan sesuatu peraturan baik baik dari peringkat PBT mahupun Kerajaan Negeri bagi menggelakkan isu berbangkit.

“Saya sokong sepenuhnya pendekatan yang diambil MDKS, namun mereka perlu melaksanakannya dengan lebih berhemah seperti mana dilaksanakan di Kelantan bagi menjaga maruah golongan perempuan dan bukannya mahu mewujudkan diskriminasi gender.

“Arahan ini ditangguhkan mungkin kerana peraturan tidak dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri dan maklumat yang diterima Kerajaan Negeri tidak jelas,” katanya.

Mohd Yahya berkata, jika isu penangguhan larangan itu dibuat atas aduan semata-mata tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pucuk pimpinan MDKS, ia tidak wajar kerana kedua pihak perlu menjelaskan perkara ini bagi menggelakkan timbulnya salah faham.


Larangan sekadar peringatan: YDP

Sementara itu, Noraini berkata, usul cadangan lara- ngan terbabit sering kali dibangkitkan dalam mesyuarat penuh PBT bersama ahli majlis dan mengenakan syarat pengasingan mengikut jantina bagi orang Islam bukan muhrim kepada pengusaha panggung wayang di Kuala Selangor yang mahu memperbaharui lesen operasi mereka.

“Larangan itu hanya peringatan sahaja dan saya enggan mengulas lanjut berhubung perkara ini dan tunggu keputusan Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.