Home »
politik kita
» Anwar harus Terangkan rahsia akaun RM3 billion..
Anwar harus Terangkan rahsia akaun RM3 billion..
KULAIJAYA - Timbalan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan mengenai pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu disiasat kerana ia membabitkan jumlah yang besar.
“Sekiranya dia (Anwar) benar-benar mahu tubuhkan pentadbiran yang adil dan telus, jadi dia secara ‘gentleman’ sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah dan sedia untuk mendedahkan akaun yang terbabit.
“Pihak berkuasa perlu juga mencari jalan untuk menyiasat perkara ini dan gunakan segala perundangan yang ada untuk menyiasat dakwaan itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pangsapuri The Senai Garden di sini, hari ini.
Mohd Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, siasatan ke atas akaun berkenaan juga penting bagi mengetahui sumber kewangan akaun itu sama ada membabitkan kroni atau dana dari sumber asing untuk menaja Pilihan Raya Umum (PRU) parti pimpinannya.
“Saya sendiri amat terkejut jika benar Anwar memiliki wang sebanyak RM3 bilion kerana dia bukan ahli perniagaan yang boleh menjana keuntungan dalam jumlah besar.
“Jadi, sumber kewangan akaun itu penting untuk disiasat, adakah wang itu dari kroni atau sumber dari kuasa asing untuk membantunya dalam PRU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid mengenai pemilikan akaun induk oleh Anwar Ibrahim bernilai RM3 bilion ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu katanya, tindakan Anwar yang mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan semua akaun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menepis dakwaan ke atasnya, adalah tidak relevan.
“Tindakan ini tidak betul, kita minta dia dedahkan akaun kerana timbul dakwaan RM3 bilion berkenaan sebaliknya dia pula mencabar Tan Sri Muhyiddin untuk berbuat demikian sebagai alasan untuknya mengelak dari mendedahkan akaun,” katanya.