Powered by Blogger.

PRU13: Perlukah agenda garang?

Adakah Pilihan Raya ke-13 merupakan peluang keemasan untuk rakyat memilih kerajaan? Peluang pasti ada, tetapi bagaimanakah halnya dengan ‘keemasan’?

Peluang ada di mana-mana, tetapi ‘keemasan’ sukar didapati. Kini orang terlalu sedar bahawa apa-apa pun dalam politik hanya persepsi. Politik tidak lain daripada persepsi.


Datuk Seri Sharizat Abd Jalil tidak akan melepaskan jawatan Ketua Wanita Umno, kerana segala dikatakan orang terhadapnya hanyalah persepsi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempedulikan kesan sokongannya terhadap usaha menentukan Israel selamat, kerana segala diperkatakan orang tentang itu hanyalah persepsi. Sekarang, kata Anwar, perkara utama perlu difahami ialah perkataan ‘contingent,

Dalam pilihan raya akan datang, khabarnya, dakwat kekal akan digunakan, dan itu dapat mengelak daripada penipuan. Itu pun persepsi, kerana hakikatnya jalan penipuan sentiasa terbuka. Namun, dalam perhatian dan persepsi saya, jumlah penipu di Malaysia adalah relatif kecil. Dalam lingkungan yang kecil itu, kadang-kadang penipu menuduh orang lain menipu.

Jika kita terlalu tertumpu pada soal penipuan, pilihan raya tidak akan dapat dilaksanakan. Setiap yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya akan dianggap menyebelahi kerajaan. Jadi, SPR bergundah gulana untuk bertindak. Saya fikir, kita hendaklah menumpukan perhatian terhadap hasrat sebenar sesebuah parti politik. Jika parti berhasrat mulia, mahu membela rakyat, dan kemudian dapat meyakinkan rakyat, maka parti itu akan menang.

Pilihan Raya 2008 membuktikan rakyat mengubah pendirian kerana mereka tidak berpuas hati. Perdana Menteri menyedari hal itu, dan sudah pun memohon kemaafan atas kesilapan kerajaan yang diwakilinya. Memang persepsi tertentu menyatakan makna permintaan kemaafan itu, iaitu PM mencari jalan untuk memperoleh simpati rakyat. Itu tidak mengapa, kerana perkara penting berkaitan hal itu ialah kesedaran bahawa kesilapan telah berlaku.

Dalam pilihan raya, harapan rakyat bukannya satu, tetapi dua. Rakyat menghendaki kerajaan yang baik, dan juga pembangkang yang baik. Jika ditanya orang perseorangan daripada penyokong tegar sesuatu parti, jawapannya ialah harapan agar parti yang disokongnya menang. Penyokong tegar tidak memikirkan partinya menjadi pembangkang, tetapi menjadi kerajaan. Krisis dan konflik selalu muncul kerana hasrat orang kuat parti mahu menjadi pemimpin. Ketua parti mahu menjadi perdana menteri. Jika Ketua Pembangkang berhasrat memajukan dirinya untuk menjadi ketua pembangkang yang lebih berkesan (jika terpilih), maka konflik berkurangan. Pihak kerajaan pun seharusnya demikian. Impian ketua kerajaan hendaklah mahu menjadi ketua kerajaan yang lebih baik, jika terpilih.

Baik kerajaan, mahupun pembangkang, hendaklah merelakan diri untuk diamat-amati rakyat. Hasil pengamatan itu, rakyat memilih sesiapa yang dipercayai mereka. Jika rakyat boleh menyerahkan kuasa kepada PKR, Pas dan DAP untuk negeri-negeri tertentu dalam Pilihan Raya 2008, ertinya penipu (jika ada) dalam pilihan raya di Malaysia adalah kecil. Jika jumlah undi ialah hasil penipuan secara total, maka tiada negeri yang dapat ditawan pembangkang.

Setiap rakyat Malaysia yang celik huruf tahu bahawa ruang kelemahan dan lorong kepincangan memang wujud. Untuk membersihkan apa-apa yang dianggap kotor, tindakan tertentu telah dilakukan oleh pelbagai pihak. Apabila ada tindakan, dan jumlah yang memberikan perhatian adalah besar, maka kita percaya sistem dan pelaksanaan pilihan raya kita kian meyakinkan.

Baru-baru ini, di pihak pembangkang menyarankan rancangan untuk turun ke jalan raya sebelum pilihan raya. Ertinya, pihak pembangkang masih merasakan perlunya tindakan garang, agar kesannya akan diterjemahkan menjadi undi. Pada saya, walaupun ada faedah kepada pembangkang, faedah itu hanya untuk jangka masa yang pendek. Saya beranggapan politik kebencian akan berlangsung menjadi tradisi kebencian. Jika kaedah turun ke jalan raya dilaksanakan, maka pidato maki hamun akan mendominasi kegiatan itu. Itulah yang sering berlaku, dan faedahnya ialah kepuasan emosi, bukan kejayaan ekonomi.

Jika kita percaya rakyat Malaysia dapat berfikir dengan matang, agenda garang tidak usah dilaksanakan

Posted by admin:007dunia On 0 comments
Jika artikel ini bermanfaat,bagikan kepada rekan melalui:

10 Berita Terbaru

Popular post

My Ping in TotalPing.com Submit Your Site To The Web's Top 50 Search Engines for Free!

Berita Semasa Online

Portal Sumber Ilmu Online

Feed Link Sahabat

Geng Blogger Hebat

Followers