Benarkah Malaysia negara Islam?
BARU-BARU ini kita telah dikejutkan dengan berita yang terpampang di dadadada akhbar tentang satu kes pembunuhan yang melibatkan seorang kanak-kanak yang berusia lima tahun yang telah dibunuh dengan kejam dan mayatnya telah dibakar. Malah, semua rakyat Malaysia turut berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa terhadap apa yang berlaku, apakah ini menunjukkan bahawa negara Malaysia yang kita cintai ini tidak lagi selamat dan aman?
Justeru, tidakkah pernah kita terfikir apakah punca sebenar terhadap setiap kemelut yang melanda pada negara kita ini? Kes jenayah saban hari semakin meningkat, masalah gejala sosial yang tidak pernah berkesudahan, anak yang tidak sah taraf bertambah ramai, penyelewengan harta rakyat, rasuah, gejala murtad dan banyak lagi. Jika disebutkan setiap satu pasti tidak akan terhitung. Namun, kalau dilihat kepada masyarakat Islam sekarang, mungkin ramai yang tidak menyedarinya malah mungkin juga ada yang langsung tidak ambil peduli, alangkah parahnya sikap umat Islam masa kini.
Cara penyelesaian hanyalah dengan kembali kepada kitab Allah SWT dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Bukankah Islam itu amat sempurna
Tidak perlu diragui lagi bahawa sistem pengurusan sesebuah negara yang sempurna mestilah berlandaskan Islam kerana Islam adalah agama yang syumul dalam segenap ciri dan sifatnya.
Inilah padahnya yang berlaku dalam masyarakat Islam pada zaman sekarang akibat menggunakan undang-undang ciptaan manusia yang serba lemah dan kurang. Sedarkah kita bahawa kita adalah makhluk yang dicipta oleh Allah. Justeru, pasti Dia Maha mengetahui tentang segala makhluk ciptaan- Nya mengikut batasan yang telah ditentukan di dalam al-Quran. Siapa kita untuk menafikan semua ini? Ataupun kita masih tidak menyedari apa punca setiap kejadian yang berlaku?
Setiap pengurusan dalam Islam yang sempurna adalah bermulanya daripada individu kemudian beralih kepada keluarga dan daripada keluargalah membentuk masyarakat. Setelah itu bangkitnya daulah dan daripada daulahlah lahirnya khilafah Islamiyah. Khilafah Islamiyah inilah yang ditunggu-tunggu oleh setiap pejuang gerakan Islam yang tidak pernah lelah untuk mencapai matlamat mereka.
Tetapi alangkah sedihnya, ramai individu yang beragama Islam pada hari ini hanya pada nama semata-mata. Mereka langsung tidak memahami apa makna Islam sebenar apabila rosak dan runtuh sebuah institusi masyarakat Islam, maka lahirlah pemimpin yang tidak layak menjadi pemimpin sekali gus mentadbir negara. Maka kucar kacirlah negara tersebut sebagaimana yang berlaku pada negara kita sekarang yang bersifat sekular.
Negara Islam
Dan mengapa pada hari ini ramai golongan agamawan tempatan dan antarabangsa tidak bersetuju bahawa Malaysia dilabel sebagai Negara Islam, Mengapa? Ini kerana selagi Kerajaan Barisan Nasional tidak meletakkan perlembagaan negara di bawah al-Quran dan As Sunnah, selagi itulah Malaysia tidak layak digelar dengan gelaran negara Islam. Bukan hanya sekadar meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi negara lantas secara automatik dilabel sebagai Negara Islam.
Para ulama banyak memberikan pandangan mengenai Negara Islam sekali gus memberi pandangan mengenai Negara Kufr. Ini kerana mereka meletakkan syarat dan keadaan yang berbeza-beza. Al- Imam Abu Yusof pernah berkata bahawa negara yang dikira sebagai Negara Islam adalah negara yang terlaksana hukum Islam di dalamnya walaupun kebanyakan penduduknya adalah daripada kalangan orangorang kafir.
Dan dikira sesebuah negara sebagai Negara Kufr apabila terlaksananya hukum kafir padanya walaupun kebanyakan penduduknya adalah daripada kalangan orang-orang Islam.
Jika setiap perlembagaan dan sistem pemerintahan masih di bawah pengaruh penjajah, maka tidak sesuai dikatakan Malaysia ini sebuah Negara Islam. Bukan sekadar hanya membina ribuan masjid, bukan sekadar hanya membina ribuan institusi pendidikan, bukan hanya sekadar menganjurkan programprogram ceramah agama, bukan hanya sekadar menyambut sambutan Maulidur Rasul setiap tahun dan sebagainya, tetapi melaksanakan perkara yang lebih besar daripada semua itu iaitu meletakkan dua sumber utama agama Islam di dalam sistem pemerintahan negara.
Bukankah Rasulullah s.a.w. sendiri menguruskan pentadbiran negara dengan cara yang diajarkan oleh Islam. Masyarakat majmuk bukanlah satu alasan untuk menidakkan syariat Islam dalam pemerintahan sesebuah negara. Ini kerana sewaktu pemerintahan baginda, orangorang Yahudi dan Nasrani juga dapat menikmati keadilan sistem pemerintahan Islam.
Kekerasan
Ini kerana Islam akan membela hak-hak kemanusiaan yang berkonsep kesamarataan di antara Muslim dan non-Muslim tetapi tidak di dalam hal yang melibatkan akidah. Malahan juga, Islam amat berlemah lembut dan bertolak ansur dengan masyarakat bukan Islam.
Islam mengharamkan sama sekali penganutnya menggunakan kekerasan atau dengan kata lain menggunakan senjata selagi mereka tidak menceroboh Negara Islam atau mengganggu proses dakwah Islamiyah.
Apa yang paling menyedihkan sekarang ramai orang Islam pada hari ini tidak mempercayai sistem pengurusan yang diajarkan oleh Islam malah juga sanggup mempertikaikannya.
Sekiranya yang mempertikaikan tentang perkara ini adalah orang-orang yang bukan Islam, masih boleh dipertimbangkan lagi kerana mereka golongan yang tidak percaya dengan Islam tetapi bagaimana dengan mereka yang yang beragama Islam.
Tidakkah akidah mereka ini bermasalah ataupun sebaliknya. Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.
Sekularisme
Hari ini ada juga sesetengah pihak yang melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular yang mengamalkan Islam Liberal. Bagi pemikiran sekularisme ini mereka mendakwa agama dan negara tidak boleh dicampuradukkan kerana agama hanya aktiviti yang berlaku di masjid-masjid ataupun di surau-surau, dan sekarang pemikiran ini kian menular dalam masyarakat Islam.
Tahukah saudara pembaca sekalian, politik dan Islam adalah dua perkara tidak boleh dipisahkan. Ini kerana dua perkara ini saling berkait dan saling bergantung. Bukan Islam yang perlu menurut politik tetapi politik yang perlu menurut Islam. Politik di dalam bahasa Yunani disebut politique. Dalam bahasa Arab, disebut siasah.
Dalam kamus dewan iaitu ilmu pengetahuan, berkenaan dengan cara pemerintahan, ilmu siasah, ilmu kenegaraan. Apabila politik yang terhasil dengan mengikut setiap panduan yang telah ditetapkan oleh Islam, pasti tidak ada lagi orang yang boleh mempertikaikannya.
Sebenarnya Negara Islam yang pertama adalah negara yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., iaitu Negara Islam Madinah al-Munawwarah.
Adalah penting untuk kita mengetahui sifat-sifat Negara Islam sebagaimana yang diperbahaskan oleh para ulama, tujuannya untuk memperincikan secara tepat perbezaan di antara Negara Islam dan Negara bukan Islam.
Dan al-Quran telah menyebut tentang Sifat-sifat Negara Islam di dalam Surah Al-Hajj: ayat 40-41 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang yang menolong agama-Nya.Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat Lagi Maha Perkasa. Iaitu orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi kerana mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allahlah kembali segala urusan.”
Kesimpulannya, umat Islam pada hari ini perlu berusaha sedaya termampu untuk mengembalikan semula kedaulatan Negara Islam. Iaitu Negara Islam yang bertepatan dengan Negara Islam pertama di Madinah yang menjadi contoh kepada semua umat Islam. Memang benar, untuk mewujudkan pemimpin Islam yang maksum adalah perkara yang mustahil.
Namun, ini bukan bermakna Negara Islam Madinah tidak perlu dijadikan kayu pengukur kepada Negara Islam yang sebenar. Ini disebabkan Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan beberapa dasar yang perlu ada kepada Negara Islam. Dasar-dasar inilah yang perlu dijadikan sumber kepada negara Islam, bukannya syakhsiah yang maksum, bukan juga karisma Rasulullah s.a.w. dalam memimpin negara yang tidak mungkin berulang lagi. Wallahua’lam.