Powered by Blogger.

Siapa hendak imami solat jenazah kita?” – Hairie

KOTA BHARU: “Kalau kita mati esok, siapa hendak imamkan solat jenazah kita, Dato’ Seri Najib ke atau Tok Guru Nik Abdul Aziz,” tanya pelakon yang pernah popular dengan watak Lt Adnan, Hairie Othman.Ujarnya, itulah isu utama yang perlu difahami biarpun orang kata berlakon mendapat bayaran yang lumayan.
“Kalau diberi watak utama dalam sesebuah filem atau drama mungkinlah dapat sekitar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan. Tapi itu ketika ada tawaran berlakon.
“Kalau tiada tawaran bermakna tidak ada pendapatan. Tinggal di Kuala Lumpur kalau pendapatan bawah RM5,000 sebulan agak susah.

“Saya sudah lama dok fikir perkara itu, sampai jadi susah hati pula. Takkanlah hendak hidup dalam keadaan begitu selamanya. Kita hendaklah kenal diri apa akan jadi selepas ini,” katanya pada ceramah sulungnya di Kelantan, 19 Julai lalu.

Hairie ditampil berganding dengan pelakon, Abby Abadi. Secara rasminya malam itu Abby yang sering membawa watak ‘Inspektor Haliza’ menyertai PAS sebagai ahli seumur hidup.
Beliau menyerah borang sebagai ahli berdaftar kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Nilam Puri.

Biar pun dalam keadaan keuzuran dan kepenatan, namun Menteri Besar Kelantan mengagahi juga hadir pada program tersebut yang diadakan di padang Yayasan Islam Kelantan, berhadapan kampus Akademi Islam Universiti Malaya.

Kedatangannya agak lewat, semata- mata bagi memenuhi impian dan hasrat pelakon terbabit yang kebelakangan ini muncul dengan penampilan baru.
Selepas menyerah borang yang dirakam puluhan lensa kamera, Abby kemudian dipakai selendang berwarna hijau oleh anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar.
Hadir sama Naib Presiden PAS, Datoí Husam Musa dan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian, Ustaz Abdul Rahman Yunus, Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita, Zainiah Abdul Halim dan bekas Setiausaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua.
Bersaksikan ribuan penduduk tempatan, Abby dan Hairie diserbu ramai peminat remaja untuk bergambar dan beramah mesra sebaik selesai program ceramah.

Hairie juga turut mencadangkan PAS menerbitkan drama berkaitan perjuangan Islam bagi membolehkan generasi muda tahu asal usul sejarahnya.
Menurutnya, elok diterbitkan filem mengisahkan kegigihan tokoh terkenal dalam gerakan Islam di Malaya iaitu Dr Burhanuddin Helmy yang banyak berjasa.
“Kalau PAS berminat untuk menerbit filem tersebut eloklah watak utama diberi kepada saya,” katanya berseloroh.

Menurutnya, selepas menyertai perjuangan bersama PAS, ramai rakan artis datang memberi sokongan.
“Kawan-kawan kata, mereka pun ada hijau juga dalam hati. Saya pesan kepada rakan-rakan, nanti pada pilihan raya kena pangkah bulan,” tambahnya.

Beliau yakin lebih ramai lagi rakan-rakan artis akan mengikut jejak langkahnya selepas ini, memandangkan sekarang mereka masih sayang kepada dunia seni.
“Saya tahu selepas menyertai PAS, usah harapkan hendak muncul lagi di RTM atau TV3,” ujarnya.

Abby menyatakan kesediaan sepenuhnya menerima segala risiko dengan menyertai PAS secara rasmi.
“Biarpun saya bersama dengan gerakan memperjuangkan Islam dan keadilan, namun saya masih sayang lagi kepada dunia seni.

“Sebagai orang seni saya tidak pandai untuk mencari rezeki dengan bidang lain. Oleh itu saya berharap selepas ada perubahan di Putrajaya nanti, kita boleh lakukan sesuatu bagi memartabatkan seni mengikut acuan Islam," ujarnya.

Posted by Unknown On 0 comments
Jika artikel ini bermanfaat,bagikan kepada rekan melalui:

10 Berita Terbaru

Popular post

My Ping in TotalPing.com Submit Your Site To The Web's Top 50 Search Engines for Free!

Berita Semasa Online

Portal Sumber Ilmu Online

Feed Link Sahabat

Geng Blogger Hebat

Followers