LAMAN ini punya sejarah kurang  berminat bermain teka-teki berhubung tarikh sebenar pilihanraya umum  ke-13 akan diadakan, melainkanlah ada sumber atau petunjuk yang  menyakinkan.
Sumber meyakinkan yang penulis sebutkan  itu biasanya datang dari akhbar-akhbar berbahasa cina kerana  akhbar-akhbar ini jarang menyiarkan berita yang datang dari sumber yang  tidak sahih.
Tapi kali ini penulis tidak bergantung  kepada akhbar cina dalam menentukan ramalan. Sebaliknya kali ini,  penulis bergantung kepada makluman dari sumber-sumber dalaman UMNO  sendiri.
Tahukah kita bahawa BN dan UMNO telah  begitu hampir untuk memuktamadkan senarai calon parti tersebut?  Dimaklumkan, dalam minggu ini juga semua senarai-senarai calon itu akan  dimuktamadkan.
Begitu juga dengan manifesto. Parti itu  telah memuktamadkan manifesto pilihanraya umum ke-13 yang sudah bersedia  untuk dicetak pada bila-bila masa dari sekarang.
Semua ini bagi memastikan pilihanraya  umum dapat diadakan pada bulan September ini, iaitu pada bila-bila masa  antara tempoh selepas hari raya dan sebelum pembentangan bajet 2013  diadakan.
Bagaimana dengan kita pula? Sudahkah kita bersedia untuk menghadapi pilihanraya yang dijangka berlangsung pada September itu?
Penulis tahu masih ada beberapa kerusi  parlimen dimana PKR bertindih dengan PAS, sementara DAP dalam proses  memuktamadkan calon-calon pilihanraya mereka.
Itu baru bercakap tentang kerusi  parlimen, penulis belum mahu jengah pun pertikaian yang wujud dalam  penentuan kerusi DUN, nanti lebih sakit kepala.
Dan bagaimana dengan manifesto bersama?  Khabarnya akan dilancarkan sekali dengan buku Jingga (janji 100 hari  pertama) versi kedua yang sudah tentu lebih menarik dibanding dengan  buku Jingga pertama.
Setakat ini penulis lihat ramai berpuas  hati dengan persiapan jentera PAS dan sememangnya PAS sentiasa kehadapan  dari segi akar umbi. PKR mungkin ada sedikit masalah dengan jentera di  Selangor berikutan pertembungan dengan kem-kem tertentu.
Tapi yang paling menggangu penulis ialah  sehingga sekarang kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat masih belum  mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing.
Seolah-olah memberikan gambaran bahawa  DUN akan dibubarkan selaras dengan pembubaran Parlimen. Jika itu berlaku  nampaknya negeri-negeri ini terutama Selangor telah memungkiri janji  Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pilihanraya berasingan di  negeri tersebut.
Bagaimanapun, semua orang menaruh  harapan agar segala pertelingkahan yang timbul sekarang dalam penentuan  kerusi ini dan hal-hal berkaitan yang lain dapat diselesaikan dalam  jangka masa terdekat sebelum pengumuman pembubaran Parlimen dibuat.
 
 
 
 
 
