Sara dan Kannan menunjukkan gambar anaknya dan mahukan dia pulang ke pangkuan keluarga.
Sara dan Kannan menunjukkan gambar anaknya dan mahukan dia pulang ke pangkuan keluarga.

KUALA LUMPUR - Akibat daripada tindakan seorang anak yang sanggup melarikan diri selepas cinta terhalang menyebabkan ahli keluarga setiap hari hidup dalam ketakutan.

Bapanya yang dikenali sebagai Kannan, 46, berkata, anak lelakinya, Dhaya, 20, dipercayai melarikan diri bersama rakan perempuannya yang berusia 17 tahun, Rabu lalu.

Menurutnya, dia menyedari anaknya tiada di rumah kira-kira jam 11.30 pagi dan lima jam selepas itu, empat perempuan, termasuk lelaki datang ke rumahnya di Cheras untuk menuntut anak perempuan mereka yang dipercayai melarikan diri bersama anaknya.

“Mereka mahukan anak saya memulangkan anak mereka walaupun kami sendiri tidak tahu di mana mereka sekarang.

“Kami dimarahi dan diugut, sehingga kini terpaksa hidup dalam ketakutan dan anak bongsu tidak pergi ke sekolah kerana bimbang keselamatannya,” katanya pada sidang media di Bangunan MCA di sini, semalam.

Kannan berkata, mereka sekeluarga tidak merestui hubungan tersebut kerana kedua-dua mereka masih muda dan perlu meneruskan pelajaran.

Isterinya juga mahu dikenali sebagai  Sara, 51, pula berkata, ada menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada anaknya memberitahu dia mengikut rakan perempuannya dipercayai kekasihnya kerana tidak mendapat restu daripada keluarga.

Dia yang bimbang dengan keselamatan anak kedua daripada tiga adik beradik ini membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras.

“Saya mahukan dia kembali ke pangkuan kami dan bersedia untuk berbincang mengenai semua perkara.

“Kami sayangkan dia dan bimbang keselamatannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sejak awal tahun ini pihaknya menerima 29 laporan kehilangan anak.

Beliau turut menasihatkan anak Kannan pulang ke pangkuan keluarga dan berbincang serta tidak melakukan perkara yang tidak diingini.