Powered by Blogger.

Peperiksaan Utama: Jangan Serahkan Kepada Sekolah


"“Anak kita jadi bahan uji kaji lagi…,” rungut rakan sepejabat apabila saya memaklumkan bahawa PMR bakal dihapuskan pada tahun 2016. Beliau yang beranak kecil kelihatan menggerak-gerakkan jarinya seperti mengira sesuatu.

“Kita bukan anti pembaharuan, tetapi bila naik menteri baru, buat dasar baru. Menteri lain naik, dasar lain pula…,” sambungnya dengan wajah tidak gembira.

Saya tidak menyangka beliau yang kelihatan seperti non-partisan itu rupa-rupanya sangat kritikal dengan sikap pemimpin negara yang ada sekarang.
“Macam tak setuju dengan pemamsuhan PMR…?” saya cuba menduga fikirannya.
“Bukan tak setuju, ada isunya. Pilih kasih.” Saya terkejut juga dengan jawapannya.
Rupa-rupanya apa yang ada di dalam fikirannya sama dengan apa yang ada di dalam fikiran saya. Ya, isu pilih kasih. Bukan untuk bersangka buruk dengan para pendidik, tetapi pengalaman mendorong otak untuk berfikiran begitu.

Walau pun belum diumumkan secara hitam putih bentuk pelaksanaan sistem baru itu, tetapi apabila menteri menyebutkan bahawa ujian di peringkat PMR (tingkatan 3) pada tahun 2016 diserahkan kepada sekolah untuk mengendalikannya, saya fikir kebimbangan itu adalah wajar.
Bagi ibu bapa, tingkatan 3 adalah waktu-waktu kritikal untuk anak-anak mereka. Jika selepas tingkatan 3 anak mereka berjaya memasuki sekolah terpilih tentulah masa depan anak itu dalam pelajaran lebih cerah dan terjamin. Begitu juga sebaliknya.

Justeru, apabila peperiksaan tingkatan 3 dikendalikan oleh guru-guru di sekolah yang sama, adakah menteri boleh menjamin bahawa guru tidak akan pilih kasih terhadap pelajar?
Adakah tidak mungkin guru itu akan memberikan markah yang baik untuk anaknya jika anaknya belajar di sekolah itu? Atau, anak saudaranya, anak jirannya, anak rakan baiknya, anak bosnya, adiknya atau sesiapa yang dia suka?

Akhirnya, mereka yang akan mendapat tempat di sekolah bagus selepas tingkatan 3 adalah pelajar yang hampir dengan guru berkenaan. Bagaimana dengan mereka yang tidak ada kabel dengan guru-guru itu?
Apa mekanisme yang bakal digunakan oleh kementerian untuk mengelakkan sikap pilih kasih ini daripada berlaku? 

Bukankah sekarang juga perkara ini sudah berlaku? Pelajar yang didahulukan untuk mendapat tempat di sekolah-sekolah bagus adalah anak-anak guru, anak kakitangan jabatan pelajaran, anak-anak orang yang ada kabel dengan pihak yang berkaitan dengan jabatan pelajaran.

Selepas itu barulah anak-anak mereka yang tidak ada hubungan dengan jabatan pelajaran mendapat tempat di sekolah-sekolah berkenaan. Maksudnya, panggilan kedua atau ketiga. Adakah ini boleh dinafikan?
Sama juga halnya dengan pemberian biasiswa. Memang berlaku pilih kasih. Ada pelajar yang cemerlang dalam pelajaran, aktif dengan aktiviti ko kurikulum dan latar belakang ekonomi ibu bapa juga melayakkan pelajar berkenaan mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan, namun siapa yang dapat?

Ya, anak-anak orang yang hampir dengan guru yang menguruskan biasiswa berkenaan. Adakah anda percaya kalau saya katakan bahawa ada anak orang kaya dengan kereta merayap mendapat bantuan KWAP?
Saya percaya jika kerajaan tidak mempunyai mekanisme yang tepat dan telus, pilih kasih akan berleluasa dalam keputusan peperiksaan tingkatan 3. Mereka yang tiada kaitan dengan guru atau jabatan pelajaran akan tersisih. Tunggulah…!

Jika ini yang berlaku, akan ada anak-anak yang berkelayakan tidak mendapat tempat yang sepatutnya dan anak-anak yang kurang berkelayakan pula mendapat tempat yang tidak sepatutnya. Sistem pendidikan kita pada ketika itu menjadi seperti ‘ketam menyuruh anaknya berjalan betul’.

Bagi saya, peperiksaan di peringkat sekolah mesti dikendalikan oleh pihak lain, bukan pihak sekolah. Walau pun sistem PMR yang berjalan sekarang bukan sepenuhnya baik, tetapi peperiksaan itu tidak wajar dihapuskan. Ia hanya perlu dibaiki dimana-mana yang dikenalpasti wujudnya kelemahan.

Sistem pendidikan di peringkat sekolah tidak sama dengan pendidikan tinggi. Tahap profesionalisme pensyarah universiti lebih diyakini dan sistem yang digunapakai di sana adalah lebih telus dan berwibawa.
Saya katakan bahawa pihak sekolah tidak wajar diberi mandat oleh kerajaan untuk mengendalikan peperiksaan utama. Peperiksaan utama mesti dikendalikan oleh lembaga peperiksaan seperti yang berjalan sekarang.

Jika tidak, tunggulah kehancuran
Baca artikel ini di http://sauhdibongkar.blogspot.com/

Posted by Min Yahya On 0 comments
Jika artikel ini bermanfaat,bagikan kepada rekan melalui:

10 Berita Terbaru

Popular post

My Ping in TotalPing.com Submit Your Site To The Web's Top 50 Search Engines for Free!

Berita Semasa Online

Portal Sumber Ilmu Online

Feed Link Sahabat

Geng Blogger Hebat

Followers