USUL seakan 'Laporan Minoriti PSC' yang gagal dibawa ke Dewan Rakyat pada awal April lepas berjaya dikemukakan, dibahas serta dipersetujui ahli mesyuarat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang pada petang tadi.
Usul mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya membersihkan daftar pemilih demi melancarkan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) itu dikemukakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman sendiri.
Laporan itu dibaca dalam dewan dengan ketetapan Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Hussain.
"Bahawa Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang membuat ketetapan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk membersihkan Daftar Pemilih Induk agar perjalanan Pilihanraya Umum ke-13 adalah bersih, adil dan bebas,” ujar Mansor yang juga Adun Penanti.
Beliau mengusulkan dewan supaya mendesak SPR menyelesaikan kes 42,000 nama pengundi diragui yang didakwa bukan wargnegara.
Itu tidak termasuk 122,273 nama pengundi di Sabah yang dipercayai warga Indonesia, Filipina sebagaimana dalam Daftar Pemilih Induk yang berakhir pada Disember 2010.
Sejumlah 2,425,045 nama pengundi tanpa alamat turut dibangkitkan semasa usul itu dibentangkan.
Bukti pengundi ragu di Parlimen Permatang Pauh kerana berkongsi alamat rumah secara tak munasabah didedah oleh Mansor di Dun Pulau Pinang."Terdapat 820 kes dimana satu alamat rumah mempunyai lebih
daripada 100 pemilih.
"Terdapat 1259 kes dimana 51-100 pemilih didaftarkan di satu alamat rumah.
"Terdapat 3254 kes dimana 21-50 pemilih didaftarkan di satu alamat
rumah.
"6002 kes dimana 11-20 pemilih didaftarkan di satu alamat rumah," ujar beliau.
Berikut adalah beberapa tuntutan sampingan yang dikemukakan dalam 'Laporan Minoriti PSC' Pulau Pinang:
1. Akses media yang bebas dan adil
2. Hentikan rasuah pilihan raya
3. Hentikan politik kotor
4. Hentikan salah guna Unit Simpanan Persekutuan (FRU), sekatan jalan raya oleh polis dan polis cawangan khas (SB) untuk kepentingan politik pihak tertentu.
5.Pemantauan bebas dari badan antarabangsa dan tempatan
6. Tarikh PRU-13 mesti diumumkan lebih awal
Mansor mengemukakan gambar warga emas tertua di Perlis menurut kad pengenalannya berusia 15 tahun seperti yang dilaporkan akhbar Utusan pada 22 Jun 2011."Semua reformasi sistem pilihan raya dan membersihkan SPR itu sendiri mesti dilakukan sebelum pilihan raya umum ke-13.
"Seluruh rakyat Malaysia termasuk (dari Pulau Pinang) menyertai (perhimpunan aman) Bersih 3.0 (pada 28 April lepas) kerana mereka tidak mahu rakyat Filipina, Vietnam atau Indonesia yang menentukan pemimpin negara," ujarnya.
Usul tersebut dibahas dan disokong oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P.Ramasamy, V.S Raveetharan (Adun Batu Uban), Ng Wai Aik (Adun Komtar) dan Ong Chin Wen (Adun Bukit Tengah).
Speaker Dun, Abdul Halim kemudiannya mengumumkan bahawa usul tersebut diterima dengan bahas sejurus proses pungutan suara ahli mesyuarat dilakukan. -END
Home »
politik kita
» TKM 1 Mansor Othman ada bukti pengundi hantu