Jika benar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dibayangkan membawa penyakit yang boleh berjangkit, penyakit itu adalah penyakit bawaan Umno, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar . "Apabila Naib Ketua Wanita Umno (Datuk Kamilia Ibrahim) menyatakan tentang orang yang membawa penyakit yang boleh berjangkit, umum menganggap ia ditujukan kepada Shahrizat.
"Sebenarnya adalah tidak adil menuduh Shahrizat sahaja yang membawa penyakit kerana Umno itu sendiri yang berpenyakit.
"Jika benar Shahrizat yang dibayangkan membawa penyakit yang boleh berjangkit, penyakit itu adalah penyakit bawaan Umno," kata beliau.
Mahfuz menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Kamilia itu membenarkan lagi apa yang dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Umno busuk hingga ke ususnya.
"Perkembangan demi perkembangan semakin membuktikan kebenaran kata-kata Dr Mahathir yang menyifatkan Umno sudah jadi parti perasuah yang busuk hingga ke ususnya.
"Semakin hari semakin cukup lengkap sifat sebenar Umno, parti perasuah, busuk hingga ke usus, pembawa penyakit, lembu dan selepas ini akan lebih lengkap lagi," katanya.
Sebelum ini, dalam desakannya supaya Shahrizat meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno, Kamilia berkata ahli-ahli Wanita Umno mengadu mereka merasa sukar untuk bertemu dengan rakyat kerana imej ketua mereka tercemar.
"Masyarakat 'mempermainkan' Wanita dan memanggil kami 'lembu'," kata Kamilia.
Dengan perkembangan sedemikian, Mahfuz juga yakin selepas ini semua orang Umno akan dipanggil lembu oleh masyarakat.
"Sekarang semua orang tahu, (Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang beria-ia mengekalkan Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno.
"Bila Najib berkeras mengekalkan Shahrizat, saya yakin selepas ini semua orang Umno akan dipanggil lembu oleh masyarakat dan bukan Wanita Umno sahaja yang dipanggil lembu seperti yang diakui oleh Kamilia," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Malah, Mahfuz menyifatkan tindakan Najib yang berkeras mengekalkan Shahrizat itu mengesahkan tanpa sebarang keraguan lagi apa yang ditulis oleh Dr Mahathir dalam blognya sebelum ini.
Bekas Presiden Umno itu menulis: "Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan".
Malah, Mahfuz juga menyifatkan Dr Mahathir secara tidak langsung menyatakan ketidakyakinannya kepada Umno apabila baru-baru ini menyatakan parti itu kini mempunyai masalah ketandusan pemimpin gara-gara kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan yang menyekat kemasukan golongan cerdik pandai dan profesional ke dalam Umno.
Dr Mahathir mendedahkan, "Umno dah berpuluh-puluh tahun tak bagi orang pandai masuk Umno, sebab itu kebanyakan doktor masuk PAS".
Sebab itulah, kata Mahfuz, kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri dari Umno kelihatan begitu bodoh dan boleh ditipu begitu sahaja oleh menteri dari MCA.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang memperakui bahawa bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik telah menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Ketika kejadian itu berlaku, Dr Mahathir adalah Perdana Menteri Malaysia.
-Harakahdaily
Home »
Artikel Politik
» Shahrizat ada 'penyakit' dalam Umno?