Powered by Blogger.

Skandal Najib meletup dekat PRU13?

Melihat gaya agresif Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, nampak sangat Pengerusi BN itu dalam keadaan cukup tertekanhttp://sin.stb.s-msn.com/i/F1/1C1D867EA41926BCBF2D83E869CD3C.jpg. Gelagatnya dalam sidang Parlimen, terutama ketika menjawab isu skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam  (SBPA), menjelaskan kekalutannya.
Daripada corak pendekatan kempen itu, saya kira, strategis Umno meletakkan harapan tinggi kepada imej personal Najib, melebihi faktor-faktor lain, bagi mengutip kembali sokongan BN yang telah hilang. 


Tergambar seolah-olah Najib akan bertanding jawatan presiden, yang dipilih oleh seluruh rakyat, walhal beliau hanya mencuba nasib di Pekan, dan keupayaannya mengekalkan posisi perdana menteri ditentukan oleh kemenangan calon-calon BN yang lain.
Satu sisi, popularitinya semacam meningkat, dibantu pelbagai kempen penjenamaan program kerajaan (yang juga mengelirukan sebenarnya), namun imej BN langsung tidak dapat dipulihkan, terutama dari kacamata masyarakat Tionghua.
Bagaimanapun, hakikatnya, semakin Najib ditonjolkan -- sehingga menenggelamkan terus pemimpin BN yang lain -- sandaran parti itu bakal berdepan situasi lebih sulit.
Jika personaliti beliau dicalarkan dengan teruk, kedudukan BN yang amat bergantung kepadanya itu akan turut merudum. Tanpa perlu mengada-adakan cerita atau menokok-tambah paparan negatif tentang Najib, persepsi rakyat terhadapnya mudah dibentuk.

Perwatakan Najib, seperti diakui rakan baiknya, bekas Adun Pulau Manis, Pekan, Ariff Sabri Abdul Aziz, bukan sahaja ghairah memburu populariti murahan, tetapi begitu lemah daripada segi kepemimpinan.
Beliau hanya bergantung kepada pelbagai bentuk "sogokan" bagi meraih undi dan merebut sokongan. Namun, pengundi tidak semudah itu untuk "dibeli" atau "diugut", terutama generasi muda yang buat pertama kali akan mengundi.

Pastinya Najib tidak mahu diingati sebagai perdana menteri terakhir daripada Umno. Beliau juga tentunya tidak bersedia berundur lebih awal dan berusaha mengelak daripada berdepan asakan anggota partinya sendiri.
Mungkin pandangan veteran Umno, Daim Zainuddin turut menganggu fikirannya.
Bekas Menteri Kewangan, yang pernah membuat ramalan mengejutkan tentang pencapaian BN empat tahun lalu itu, berkata, Umno akan menyingkirkan Najib jika  gagal memperbaiki pencapaian BN pada PRU13.
Sekiranya Najib tidak mampu menunjukkan prestasi lebih baik daripada Abdullah Ahmad Badawi, apatah lagi jika kehilangan lebih banyak kerusi, Daim berkata, "Umno akan menggulingkannya ... ini politik."
Dalam wawancara dengan Sin Chew Daily, Daim menjelaskan bahawa amalan menyingkirkan pemimpin yang gagal menang pada pilihan raya adalah trend global, dan bukan hanya terhad kepada Umno.
Justeru, misi getir Najib adalah, sekurang-kurangnya, mengembalikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menawan kembali negeri termaju Selangor. Sedangkan, menurut sumber, Daim turut bimbang BN boleh kecundang di Negeri Sembilan dan Perlis, manakala Pakatan Rakyat akan mendapat lebih banyak kerusi Parlimen daripada Sabah dan Sarawak.
Isu SBPA dan Pusat Fidlot Nasional (NFC) -- yang dianggap menjadi duri dalam daging buat BN dan mesti ditangani secara tuntas sebelum Parlimen dibubarkan -- tidak mungkin selesai hanya dengan penegasan Najib  untuk melakukan penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan juga pengunduran "Makcik Bollywood", Shahrizat Jalil.
"Mungkin musuh-musuh Najib dalam Umno, tidak terkecuali timbalannya sendiri, mengimpikan prestasi BN tidak lebih baik berbanding PRU12 bagi memudahkan mereka mengasak beliau meletakkan jawatan, seperti dilakukan Najib kepada Pak Lah dahulu," pandangan seorang pemerhati politik dipetik.
Secara peribadi saya tidak gemar dan memilih untuk mengelak daripada mengungkit kisah peribadi berkaitan kehidupan Najib, termasuk masa silamnya, apatah lagi membabitkan isterinya sekarang (tidak terkecuali kisah bekas isterinya!).
Bagaimanapun, saya percaya, semasa kempen PRU13 nanti, cerita-cerita itu pasti terbongkar, mungkin dengan "bukti-bukti" yang lebih memeranjatkan.
Apabila membaca laporan mengenai perbelanjaan mewah hampir setengah juta ringgit majlis pertunangan anak perempuannya  (belum kenduri kahwin lagi) dan disusuli pendedahan mengenai sambutan hari jadinya melibatkan RM79,053 yang dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri, saya kira Najib dalam keadaan bahaya.
Agakan saya, Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, menyimpan banyak lagi cerita sensasi mengenai kes salahguna kuasa dan penyelewengan pemimpin BN.
Sumber yang dekat dengan serambi kuasa, dan muak melihat kerakusan-ketamakan tanpa had elit penguasa dan para kroninya  tentu melihat Rafizi sebagai tokoh yang boleh disalurkan maklumat.
Ia mengingatkan saya semasa giat mendedahkan amalan korupsi bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, sepuluh tahun lalu. Selepas membuat aduan ke Ibu Pejabat BPR (sekarang SPRM) di Putrajaya dan mendapat tumpuan media, secara bertali arus saya dibekalkan info, daripada sumber yang kebanyakannya tidak dikenali.
Rupanya, seteru (dan yang berpotensi untuk menjadi musuh) kepada orang no. 1 adalah mereka yang berada di sekelilingnya atau kadang-kadang tokoh no. 2 sendiri! Kalau tak percaya, tanyalah Khir ....

Dalam masa sama, pentadbiran Najib cuba mengeksploitasi isu-isu agama, terutama bagi mengekalkan saki-baki sokongan masyarakat Melayu kepada Umno. Beberapa pertubuhan perkauman Melayu, seperti Perkasa dan Pekida, ditonjolkan ke hadapan.
Selain isu Israel yang gegak-gempita hebohnya mutakhir ini, Najib lebih awal lagi mempopularkan ungkapan wasatiyah atau kesederhanaan. Tanpa perlu menghuraikan lebih lanjut prinsip itu, saya yakin banyak pihak boleh menilai sama ada Najib, apatah lagi isterinya, Rosmah Mansor mengamalkan wasatiyah.
Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam perbahasan di Parlimen turut menyinggung hal ini. Malah, dalam khutbah Jumaatnya, pada 16 Mac lalu, beliau menyelar golongan yang memperalatkan istilah wasatiyah dan menyifatkannya sebagai penipu.
Katanya, kalimah itu disebut dalam al-Quran tetapi  golongan penipu mengambil kesempatan dari penggunaan istilah tersebut bagi mengelirukan umat Islam untuk kepentingan tertentu.
“Mereka yang menipu ini, mereka menafsirkan wasato (pertengahan), wasatiyyah (kesederhanaan), yang diucap seolah-olah tidak mengira halal dan haram," kandungan khutbahnya dipetik.
Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali pula, dalam ucapannya di Parlimen, 4 Mac lalu, mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim mencetuskan gagasan wasatiyah, seawal 7 Disember 1975, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar ABIM ke-4, bertemakan 'Jelas Wadah, Perbaru Tekad'. 
Anwar turut mengupas prinsip wasatiyah pada 1978 dalam kertas kerjanya, 'Islam dan Masyarakat Majmuk' di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang turut dihadiri Lim Kit Siang.
"Wasatiyyah tidak boleh sekadar menjadi ungkapan dan retorika yang dicandukan kepada masyarakat untuk menjustifikasikan amalan boros, rasuah dan penyelewengan. Wasatiyyah menolak pendekatan yang keras dan zalim serta menawarkan pendekatan santun, ramah dan persuasif," kata Azmin.
"Apakah ia menepati prinsip wasatiyyah apabila Umno membudayakan politik fitnah dan budaya samseng," tegas Ahli Parlimen Gombak itu lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, strategis Umno yakin isu agama, khususnya  kenyataan Anwar mengenai Israel, bukan saja dapat menarik sokongan pengundi Islam kepadanya, tetapi juga mampu meretakkan PAS daripada dalam.
"Malah tukang propaganda Umno percaya isu Israel ini boleh menyebabkan PAS berpisah daripada Anwar atau keluar Pakatan Rakyat," kata sumber, yang turut menambah bahawa Umno akan memperalatkan bekas pemimpin PAS, Dr Hasan Ali untuk tujuan itu.
Saya sekadar tersenyum mendengar "pendedahan" itu, tambahan pula selepas mengetahui Hasan mahu dijadikan senjata utama untuk menarik undi orang Melayu daripada PAS atau Pakatan Rakyat.
"Patutlah akhbar kerap sangat melaporkan ceramah Hasan dan mendakwa ia mendapat sambutan hangat," kata seorang rakan. "Tapi kita tahu isi ceramah Hasan ini, kali pertama mungkin agak ramai sebab orang nak dengar sendiri apa kisahnya, tetapi sekali dengar, mereka takkan datang lagi," tambahnya.
Jumaat lalu saya menghubungi sahabat di Baling selepas membaca laporan akhbar bahawa ceramah Hasan di sana mendapat sambutan lebih 5,000 orang. Beliau, yang turut hadir di pertengahan ceramah Hasan, berkata: "Tak sampai seribu pun, dan ramai juga yang balik sebelum ceramah habis. Bukan anta tak tahu ceramah Hasan Ali, dok pusing kot tu juga."

Posted by admin:007dunia On 0 comments
Jika artikel ini bermanfaat,bagikan kepada rekan melalui:

10 Berita Terbaru

Popular post

My Ping in TotalPing.com Submit Your Site To The Web's Top 50 Search Engines for Free!

Berita Semasa Online

Portal Sumber Ilmu Online

Feed Link Sahabat

Geng Blogger Hebat

Followers